Tuesday, November 30, 2010

Sudah menang, dapat award pula dari Ekin!


kali ini betul-betul terharu
tadi baru aje menang GA
sekarang dapat award pula
dari siapa ya,
tak lain tak bukan
daripada Ekin
pemilik blog Aku Mula Menulis!



Seronok tak terhingga...aku menang!

seronok tak terhingga
dalam banyak-banyak GA
ada juga yang 'sangkut'
ya aku menang
GA anjuran blog Aku Mula Menulis..
pemiliknya si ekin

TQVM kepada Ekin!

Sunday, November 28, 2010

Sirah Pilihan~Baju Buruk Abu Bakar

Ketika membaca artikel ini, hatiku tersentuh dan hampir menitiskan air mata! Jadi aku rasa ada baiknya aku kongsikan artikel ini bersama rakan blogger agar boleh dijadikan panduan/pedoman kita dalam bersahabat. Artikel ini aku petik dan ubahsuai daripada majalah dara.com, edisi 68, Feb,2008.

Khalifah pertama, Abu Bakar as-Siddiq merupakan sahabat akrab Rasulullah s.a.w dan melalui banyak pengalaman suka-duka bersama-sama. Ketika beliau jatuh sakit dan berasakan saat kematiannya hampir tiba, Aisyah Humairah, puteri kesayangannya sentiasa setia di sisi ayah tercinta.

Aisyah : Ayah, biar saya panggilkan tabib ya?

Abu Bakar : Tidak payahlah, ayah sudah berjumpa 'tabib'

Fahamlah Aisyah siapa yang dimaksudkan 'tabib' oleh ayahandanya.

Aisyah : Apa katanya ayah?

Abu Bakar : Kata tabib itu, dia akan lakukan apa sahaja yang dia inginkan.

Aisyah mengangguk tanda maklum akan maksud tabib itu. Aisyah mengerti detik ajal ayahnya sudah tiba dan berasa amat sedih.

Aisyah : Ayah, dengan kain apa harus saya balut tubuh ayah nanti?

Abu Bakar : Aisyah, tutuplah badanku dengan bajuku ini yang selalu aku pakai semasa aku bersolat bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w.

Aisyah : Tapi baju itu sudah buruk, ayah. Biarlah saya belikan yang baru.

Abu Bakar : Jangan, baju baru lebih layak bagi orang yang hidup daripada dipakai oleh orang yang mati.

Begitulah pesan Abu Bakar kepada anaknya. Beliau lebih menyukai baju buruknya kerana ia menyimpan banyak kenangan ketika Rasulullah s.a.w masih hidup. Abu Bakar meninggal dunia pada usia 63 tahun.

Moral Sirah ~ Sahabat sejati adalah kurniaan dunia yang amat mahal sekali. Beruntung jika kamu mendapat sahabat yang serasi, apatah lagi jika dia berperibadi mulia seperti Rasulullah s.a.w. Kehadirannya dirai,kepergiannya ditangisi dan dirindui. Oleh itu, jadilah teman yang terbaik dan hargailah sahabat yang sejati!

Pantun versi aku!

pantun dulu-dulu

gendang gendut tali kecapi
kenyang perut suka hati!

pecah kaca pecah gelas
lepas baca harap balas!

dua tiga kucing berlari
mana nak sama si kucing belang
dua tiga boleh dicari
takkan sama si adik seorang!

jika ada sumur di ladang
boleh saya menumpang mandi
jika ada umur yang panjang
boleh kita berjumpa lagi!

pantun versi aku

gendang gendut tali kecapi
tali barut aku benci!

pecah kaca pecah gelas
suruh baca semua malas!

dua tiga kucing berlari
mana nak sama si kucing belang
dua tiga cuba nak lari
bila nampak ceti datang!

jika ada sumur di ladang
boleh saya menumpang mandi
daripada musuh berpanjangan
baik jadi sahabat sejati!


SAYA SUKA BLOG AWAK LA !


Segmen ini (Saya Suka Blog Awak La!), saya dapat tahu melalui blog lia dan nur. Setelah saya fikir-fikir, akhirnya saya senaraikan 5 blog yang saya suka bertandang dan baca apa yang mereka tulis. Mereka ialah :

1. Petua kita Semua ~ mengutarakan petua-petua yang mungkin telah kita lupai kerana kurang atau tidak mengamalkannya, disamping penulisannya yang santai, menarik untuk membaca apa yang ditulis!

2.Ferry punya blog ~ penyampaian idea dalam bentuk animasi amat menarik, ada keunikan berbanding blog lain.

3. Fizzo blog ~ gaya penulisan tersendiri, mengutarakan isu pada pandangan penulis blog, ada ketulenan idea tersendiri.


4.
ma belle histoire (haszuraidah) ~ suka sangat melihat bahagian tutorialnya yang memberi tunjuk ajar meletakkan gadjet, menguji kepintaranku yang tak seberapa ini dalam pembinaan blog! Di samping cerita/pengalaman hidup penulis blog di luar negara!

5. Tutorial utk blog/Tip blogspot ~ gedung ilmu tentang pembinaan blog!

Itu dia 5 senarai blog yang sering saya kunjungi, blog-blog lain pun saya sering pergi terutamanya blog lia dan nur! Semua blog ada keistimewaannya!

Aku menghitung hari!

baru sekejap tadi berskype dengan along
seronok sungguh along
almaklum baru aje lepas
peperiksaan akhir semester

tak sabar rasanya menunggu
kepulangan alongku
pada hal bukannya lamapun lagi
seminggu je lagi~ 7 hari

ohh, aku menghitung hari!

Saturday, November 27, 2010

Genera Orkid

Wednesday, November 24, 2010

Terima kasih daun keladi...

Semasa peringkat awal pembikinan blogku ini hanya simple aje. Tiada gadjet yang canggih seperti blog-blog rakan alam maya yang lain. Namun setelah melayari ke banyak blog, aku mendapati ada pelbagai jenis gadjet yang sebelum ini aku tidak tahu bagaimana untuk meletakkannya di dalam blogku.

Atas kemurahan hati rakan-rakan blogku ini seperti
blog haszuraidah dan blog tutorial untuk blog/tips blogspot untuk mengadakan ruangan tutorial bagaimana meletakkan gadjet-gadjet ini, telah memberi peluang kepadaku mengaplikasikannya di blogku. Lihatlah hasilnya, sekarang blogku lebih kemas dan cantik, sehinggakan mendapat 'nice blog award' dari pemilik blog myrevenge zone1!

"terima kasih daun keladi
lain kali nak belajar lagi..."


Tuesday, November 23, 2010

Hari penentuan bagi angahku...

Hari ini merupakan hari pertama bermulanya peperiksaan SPM. Semua pelajar tingkatan 5 menduduki peperiksaan ini~peperiksaan yang akan menentukan hala tuju mereka selepas ini. Begitu juga dengan angahku, semoga angah menduduki peperiksaan ini dengan tenang dan yakin.

Jangan risau, doa mak dan ayah sentiasa mengiringimu dan yang pastinya usaha yang angah curahkan hendaklah angah berserah kepada Allah untuk mencorakkannya.




"Caiyook.caiyook..angah!"

Monday, November 22, 2010

My First Award

Ini adalah award pertama yang saya dapat daripada Finie, rakan blogger alam maya ini. Sebenarnya dah lama dapat, tapi tak ada masa nak buat entry tentangnya. Jadi sekarang baru berpeluang!

kat sini ada beberapa soalan yang perlu dijawab..


1) berikan 1 nick name untuk saya.
teratai, nama yang hanya dikenali oleh rakan bloggerku
di alam maya ini

2) ucapan untuk pemberi award ni.

Terima kasih Finie, memang teruja bila dapat award ni,
tapi terfikir 2
.....3 kali untuk jawab soalan seterusnya!

3) berikan 6 artis/singer/group yang diminati
untuk jawab soalan ini kena tanya anak2ku, heh,heh (bolehkan)

Artis

1) Aaron Aziz
2) Mia Sara Nasuha

singer

1) Maher Zain
2) Anang

Group

1) Wonder Girls
2) Search

Nice Blog Award


1. myREVENGEzoNe1 ~ pemilik blognya yang come lote dan suka bertandang ke blogku
"harap-harap selalu bertandanglah ya..:)"

2. Blogku : Kelip-kelip Kehidupan ~ menceritakan pengalaman hidupku...ialah seperti
kelip-kelip yang bercahaya, pengalamanku ada baik dan buruknya!

3. Perkara yang disukai : membaca, mengemas rumah, window shopping,
mengelamun, menonton tv

4. Perkara yang dibenci : merajuk, bertengkar, bising,
diskriminasi, hipokrit

nak tag 3 kawan yang blognya cantik!

bella
apple
finie




Ini yang perlu ditulis

1. kelip-kelipkehidupan di mata korang.. Berikan pendapat dengan jujur.

2. Nama blog korang dan kenapa letak nama tu?

3. 5 perkara yg korang suka

4. 5 perkara yg korang benci



Sunday, November 21, 2010

Cenderamata dari Putrajaya

Masih ingat postku bertajuk "Pergi Ke Putrajaya Dia" pada 23 Oktober yang lalu. Ini adalah kesinambungan ceritanya. Ira pulang pada hari Rabu, 25 Oktober~banyak betul souvenir yang ira beli, ada untuk setiap seorang!


untuk ayah~magnetik peti ais

untuk mak~sekotak coklat

untuk along ~seutas rantai telefon

untuk angah ~ sebuah novel

untuk wani ~ coklat

untuk adik syu ~ anak patung bear bercahaya


untuk diri ira ~ bola gambar ikan bercahaya











Rumahku kini macam Cybercafe

Menjelang saja cuti sekolah, bermakna semua anak berkumpul di rumah. Tiada lagi tuisyen atau kelas tambahan. Jadi kerja aku pun dah berubah daripada menjadi drebar menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen, kini menjadi tukang masak pusat 'Cybercafe'. Jangan terkejut, bukan pusat cybercafe betul-betul tapi suasana di rumah aku kini yang macam cybercafe.

Kenapa?

Apa tidaknya, semua anakku berebut-rebut nak bermain 'games' online!. PC di rumah 24 jam online, begitu juga laptop aku! Malah aku pun terpaksa je mengalah beri peluang kepada anak-anakku menggunakan laptopku (hanya cuti sekolah je~sebab tiada kerja sekolah!). Bila dah lapar tu, baru anak-anakku menjengok ke dapur, cari makanan!.

Saturday, November 20, 2010

Picture Of My Life Contest

GA ini anjuran Blog Segala Ceritera
Tarikh tutupnya 1 Disember 2010
Hadiah menarik, berbentuk wang tunai;

1st : Rm 150
2nd : Rm 100
3rd : Rm 50


syaratnya kena tag 3 kawan blog,
jadi saya tag

has
bella
ratu syahadah

Sesiapa nak join klik disini

Tajuk Ceritaku : Bukan Hanya Sekadar Kertas Resit




Ini mungkin kertas resit biasa bagi orang lain. Tapi bagi aku, kertas resit ini amat bermakna dan membawa pengajaran yang bernilai bagiku. Nak tahu kenapa? Jadi ikutilah kisahku ini...

Sabtu, 13 November, 2010.
12.30 tengahari


Aku bertolak dari tempat kerjaku untuk mengambil Angah yang ada seminar di sekolahnya. Dari tempat kerjaku ke sekolah Angah, mengambil masa 20 minit perjalanan. Jadi sedang-sedang eloklah aku sampai di sekolah Angah, masih ada tempat kosong di laluan hadapan sekolahnya. Aku pun memakirkan kereta inova ku betul-betul di hadapan pintu pagar utama sekolahnya.


1.00 petang

Aku melihat jam di dashboard keretaku, sudah pukul 1.00 petang tapi kelibat Angah masih belum kelihatan. Aku diberitahu oleh suamiku, seminar yang diikuti Angah akan selesai jam 1.00 petang.

Oleh kerana menunggu Angah yang tak muncul-muncul, aku sudah mulai kebosanan. Bagi menghilangkan rasa bosan itu, aku pun mulai mengambil ketip kuku di dalam tas tangan yang diletakkan di tempat duduk penumpang depan dan mengetip kuku kakiku yang dah agak panjang. Kuku kakiku dah pendek dan nampak cantik (pada pandangan mata aku lah tu..hik,hik,hik!)

"Mesti cantik digayakan dengan kasut bertumit tinggi berwarna hitam bertatahkan mata berlian (kaca sebenarnya) untuk ke majlis jamuan makan malam tempat kerjaku pada malam esok....", aku bermonolog sendirian. "Rasa-rasanya kasut tu ada dalam kereta...tapi kat mana ya?", aku bermonolog lagi. Jadi aku pun membuat keputusan untuk mencari kasut itu. Aku membongkokkan badanku mencari kasut itu di bawah kerusi penumpang depan.

Tiba-tiba aku merasakan keretaku bergerak dan mengundur ke belakang! Kemudian kedengaran hon dibunyikan, pingggggggg oleh pemilik kereta di belakang keretaku. "Ya Allah, kenapa kereta ni bergerak, apa dah jadi?", aku sudah menjadi panik, dan sepantas kilat aku menolak gear ke tempat 'N' dan menarik handbrake. Rupa-rupanya semasa aku membongkok itu, badan aku telah tertolak gear ke 'D' atau 'R', aku tak pasti!

Dalam keadaan kelam-kabut itu dan masih lagi panik, aku membuka pintu kereta dan menuju ke belakang kereta untuk melihat apa yang terjadi. Teruk ke kereta belakang aku langgar! Alhamdulillah, hanya bumper keretanya saja yang terkena dan bercalar. "Maafkan kak, dik.", kataku, memohon kemaafan akibat kecuaianku. Kemudian berlaku perbualan ringkas antara aku dan pemilik kereta proton ini (aku panggil Adik sebab masa tu tak tahu lagi namanya~punyalah panik tak teringat nak tanya nama!)
Adik : Kak buat apa, sampai kereta kak mengundur..kereta automatik ke?
Aku : ya,ya..automatik. Sebenarnya kak cari barang yang jatuh (malu nak beritahu sebenarnya mencari kasut)!".
Adik : tunggu anak form 5 ke?"
Aku : aahh, tunggu anak form 5, kata sudah pukul 1.00 petang, ni dah 1.20 tak siap-siap lagi. Adik tunggu anak form 5 juga ke?Adik hanya mengangguk.
Aku : Macam mana dengan kereta tu, nak kak bayarkan kerosakannya? (mestilah kena bayarkan, apa pulak tanya...)
Adik : Macam ni, kak beri nombor telefon. Nanti saya minta suami saya telefon kak, tengok macam mana.

Aku pun tanpa melengahkan masa menulis nombor telefon dan namaku di atas sekeping kertas dan memberi kepada si adik ini.

2.05 petang

Setibanya aku dan Angah di rumah, aku menceritakan peristiwa kemalangan itu kepada suamiku. Semasa aku bersembahyang zohor, telefonku berdering dan dijawab oleh suamiku. Suamiku memberitahu suami si adik menelefon memberitahu mungkin kos pembaikian antara RM100 hingga RM200. Aku terpaksa akur, nasi sudah menjadi bubur, memang salah aku pun!

Isnin, 15 November, 2010

7. 30 petang


Ketika itu, aku dan keluarga sedang menghadapi juadah berbuka puasa (puasa sunat bulan zulhijah), tiba-tiba telefonku berdering. Aku menjawabnya dan rupa-rupanya suami si adik yang menelefon. Setelah berbincang, kami berjanji akan berjumpa di sebuah stesyen minyak Petronas berhampiran rumahku untuk melangsaikan bayaran pembaikian bumper kereta isterinya.

8.30 malam

Aku dan suami akhirnya berjumpa dengan si adik dan suaminya di stesyen minyak Petronas.
Setelah aku membayar jumlah kerosakan itu (sebagaimana tertera dalam resit), kami berbual seketika. Rupa-rupanya banyak pula persamaan antara aku dan si adik ini. Siapa sangka ya, si adik ini memiliki anak semuanya perempuan, sama seperti aku. Juga berasal dari negeri yang sama iaitu Terengganu! Sebelum berpisah, aku sempat bertanya namanya iaitu Norly dan suaminya pula dipanggil Bang Brahim.

Pengajaran yang aku perolehi daripada peristiwa ini ialah apabila memakir kereta, pastikan ditarik handbrakenya supaya kereta tak bergerak sekiranya gearnya teralih!


Kari Ikan Tenggiri


Bahan Utama :

2 keping ikan tenggiri

1 cawan santan segera (cap Kara)

1 biji ubi kentang (potong 4)


Bahan untuk ditumis :

1 labu bawang besar (saiz kecil)~dimayang halus
4 ulas bawang putih~dihiris halus

sedikit halba
sedikit kulit kayu manis
1 tangkai daun kari
minyak untuk menumis


Bahan dijadikan pes :

2 camca besar bawang kisar
2 camca besar cili boh

3 camca besar serbuk kari ikan (cap Adabi)

1 cawan air


Cara memasak :

1. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan semua bahan untuk ditumis dan masak sehingga naik bau.
2. Kemudian masukkan bahan-bahan pes (gaulkan dahulu sehingga sebati) dan masak sehingga garing. Sambil itu masukkan air sedikit demi sedikit di selang-seli dengan santan. Masukkan ubi kentang. Letak garam dan gula secukup rasa.

3. Setelah agak garing, masukkan ikan dan lebihan santan. Tunggu sehingga mendidih dan ikan masak. Tutupkan api dan angkat.



*Sedap dimakan dengan nasi putih dan ikan kering/ikan bilis goreng....
juga boleh dijadikan pencicah roti canai*

Friday, November 19, 2010

Giveaway 13 Nov - 28 Nov 2010


GA ini dari blog "Aku Mula Menulis....."
Tarikh tutupnya 28 Nov.,2010 (jam 6 petang)
Syaratnya mudah, perlu jadi follower blog ini dan blog Pinkbiru
Sesiapa nak join, just klik kat sini

Pertama kali makan singgang daging!

Pada musim hari raya korban ni, banyaklah kami dapat daging yang disedekahkan oleh saudara mara dan jiran tetangga. Dalam duk fikir-fikir nak masak apa hari ini, suamiku menyarankan buat singgang daging. Tapi yang susahnya, aku tak tahu resipinya. Jadi suamiku pun carilah dalam internet iaitu blog MyResipi dan Mesra.net. Akhirnya terjumpalah beberapa resipi singgang daging versi kelate dan terengganu kito. Oleh kerana aku orang terengganu, jadi akupun masaklah singgang daging ni ala terengganu.

Yang paling bestnya, anak-anakku suka masakan singgang daging ni, nampak gayanya selepas ini, selain daging masak merah, bolehlah dibuat juga singgang daging sebab mendapat sambutan hangat daripada anak-anak!

Inilah resipi ringkas singgang daging yang suamiku ambil dari mesra.net...

1 kati daging lembu
3 inci lengkuas }
3 ulas bawang merah } dihiris
3 ulas bawang putih } halus
3 inci halia }

5 keping asam gelugur
2 sudu ketumbar biji (diketuk-ketuk supaya pecah)

1 sudu lada hitam (aku letak sendiri)~untuk hilangkan hanyir daging!

Cara:

1. Bersihkan serta potong daging mengikut kesukaan anda.

2. Kemudian masukkan ke dalam periuk berserta bahan yang dihiris tadi ketumbar, asam gelugur, lada hitam, garam dan serbuk perasa secukupnya.

3. Kemudian masukkan pula air secukupnya dan jerangkanlah periuk di atas api biarkan mendidih serta daging cukup masak bolehlah diangkat.

Tuesday, November 16, 2010

Giveaway 1st Gaji yang HAPPY


GA kali ini dari blog 'This is my Tale'
hadiah menarik untuk teruna dan dara
perlu tag sebanyak mungkin
supaya menjadi pemenang referral terbanyak!
tarikh tutupnya 24 November ini
jom cepat jangan terlambat!


rakan yang saya tag

nur
finie
cadlynn
ferry
fizzo


Referral saya adalah haszuraidah


Sesiapa nak join, sila klik disini

Dalam gembira, ada sedihnya!

Selasa, 16 November, 2010.

Hari ini heboh dengan berita tentang kejayaan permohonan rakan-rakanku untuk bertukar tempat bertugas. Ada yang sudah menjangkakannya dan ada juga diantara mereka tidak menjangkakan permohonan mereka diluluskan! Suasana menjadi riuh rendah, masing-masing membincangkan tentang isu pertukaran ini.

Mereka yang dapat bertukar mengikuti suami, pastinya gembira kerana hampir setahun terpaksa berjauhan dengan suami tercinta. Begitu juga dengan mereka yang dapat bertugas lebih hampir dengan tempat kediaman, juga merasa kelegaan sebab mereka tidak perlu lagi tergesa-gesa berkejar di waktu pagi untuk ke tempat bertugas!

Bagi mengabadikan persahabatan mereka yang bakal terpisah ini, mereka bergambar kenang-kenangan. Macam-macam posing diberikan...suasana meriah sekali jadinya!

Namun dalam suasana penuh kegembiraan itu, aku melihat ada dalam kalangan rakanku menitiskan air mata kerana terpaksa berpisah dengan rakan sejawat mereka. Mereka bersalaman dan berpelukan mesra sambil membisikkan...."diharap persahabatan ini tidak putus sampai di sini, contactlah ya...atau berfacebooklah ya...beritahu status terkini!"

Aku yang sebelum ini, hanya memerhati gelagat rakan-rakanku ini, juga tersentuh melihat betapa akrab dan mesranya mereka..."sebenarnya mereka merasa gembira dengan pertukaran rakannya kerana itu yang terbaik buat rakannya, tetapi dalam masa yang sama merasa sedih kerana terpaksa berpisah...."


Sunday, November 14, 2010

Jamuan Akhir Tahun!

Biasalah tu, dah dekat hujung tahun ni, banyaklah jamuan akhir tahun diadakan. Tak kiralah sama ada jamuan kelas ke atau jamuan staf. Bila sebut jamuan ini, teringat aku masa sekolah-sekolah dulu. Kita dulu masa buat jamuan akhir tahun kelas, hanya buat di sekolah aje. Tapi sekarang dah lain, anak-anak sibuk menghadiri jamuan kelasnya di luar, iaitu sama ada di pantai peranginan atau di pusat-pusat beli belah ataupun di hotel 5 star!

Pada hari Jumaat lepas (12 November,2010), aku menghantar anakku, Wani menghadiri jamuan kelasnya di KFC di East Coast Mall, jam 3.00 petang~makan ayam KFC! Kita dulu makan mee goreng yang mak kita buat je dan kongsi makanan yang dibawa oleh kawan-kawan,ya lah...zaman dah berubah! Jadi cara meraikannya pun dah lain kan!

Bagi angahku lagi hebat, ada 'prom night' lagi yang dibuat di MS Garden Hotel~bagi meraikan pelajar-pelajar tingkatan 5 yang bakal meninggalkan sekolah!

Ira pun apa kurangnya, jamuan pengawasnya (ira jadi pengawas) juga diadakan di Grand Continental Hotel. Sebelah malam lagi jamuan ini diadakan iaitu pada hari Khamis (12 November,2010) jam 8.00 malam!

Nasib baiklah, 'annual dinner' sekolah ku, juga diadakan di hotel (MS Garden Hotel) iaitu malam ini, kalau tidak malu aku kepada anak-anakku....hik,hik..! So malam ni, aku melaram sakanlah ya, almaklum sekali setahun!!

Saturday, November 13, 2010

Banana Stories 1st Giveaway

GA pertama dari Banana Stories!
syaratnya mudah dan senang aje!
tak perlu juga jadi follower!
hanya perlu join aje!
dan teka siapa kawannya!



Teratai teka Noritah ialah C..., harap-harap betullah ye....:)




sesiapa berminat nak join contest ni, klik di sini

Thursday, November 11, 2010

Berakhirnya satu penantian, bermulanya satu perjalanan!

Khamis,11 November, 2010

10.30 pagi

Aku mendapat sms daripada suamiku. berbunyi...."Assalamualaikum, Eirra hanya mendapat..."Timbul tanda tanya di benak fikiranku,"aik kenapa sms ini tak lengkap, ke.... keputusan UPSR eirra tak seperti yang dijangkakan!"tiba-tiba masuk satu lagi sms, juga daripada suamiku! Rupa-rupanya sambungan sms yang terdahulu, tertulis..."5A". Eh,eh...buat suspen pulak suamiku ini! Dan memang macam tu sikapnya suka aje buat kita suspen, sajalah tu nak bergurau (sebenarnya dia seronok dan gembira dengan kejayaan anaknya ini!). Aku juga memanjat kesyukuran kepadaMu Ya Allah kerana penantian Eirra selama ini membuahkan kejayaan!


Sesungguhnya, ini bukan bermakna titik noktah bagimu eirra. Selepas ini, eirra akan memasuki sekolah menengah iaitu ke tingkatan 1~satu perjalanan baru bagimu!

*Syabas dan Tahniah Eirra!*

Wednesday, November 10, 2010

Conteest: my belle giveaway

hadiah-hadiah menarik disediakan untuk pemenang!
  • Perfume 8cc x 2 botol (sepasang man & woman)
  • Perfume 5cc x 2 botol (sepasang man & woman)
  • Produk pendidikan & permainan such as cd dari GBOB



Tuesday, November 9, 2010

Ketawa Biarlah Bertempat!

Ingat, jika anda ketawa ketika atau situasi yang salah, anda mungkin dianggap tidak siuman! Cuba renung-renungkan, patutkah anda ketawa ketika situasi berikut :

1. menziarahi keluarga yang ada kematian!

2. menghadiri temuduga sama ada untuk melanjutkan pelajaran, mendapatkan biasiswa atau memohon pekerjaan!

3. melawat orang sakit yang sedang terlantar di katil hospital!

4. menghadiri jamuan rasmi seperti jamuan perkahwinan yang penuh beradat dan dihadiri oleh tan sri, datuk dan datin!

Anda boleh ketawa atau bergembira ketika situasi berikut :

1. menghadiri jamuan harijadi!

2. perjumpaan alumni~almaklum lama tak berjumpa, jadi boleh ketawa kuat-kuat mengenangkan kisah-kisah lucu yang dialami bersama!

3. menghadiri sesi uji bakat untuk menjadi pelawak~buatlah kelakar yang boleh membuatkan penguji bakat ketawa terbahak-bahak...pastinya anda dapat kerja itu!


"peringatan untuk anak-anak dara~
jangan ketawa terbahak-bahak sebab dianggap tidak sopan,
Sebaik-baiknya ketawa sambil menutup mulut!"

Monday, November 8, 2010

Hikmah Ketawa!

Antara hikmah ketawa ialah :

1. mengurangkan tekanan/stress
~mereka yang suka ketawa dapat mengurangkan kesan stress yang mengecutkan salur darah!

2. menguatkan otot
~Percaya atau tidak, ketawa 100 kali sehari, memberi kesan yang sama seperti kita mengayuh basikal 15 minit! Ketawa juga riadah paling berkesan untuk bahagian belakang badan, bahu dan kaki.

3. membangkitkan emosi positif
~dengan menonton filem komedi seperti siri Mr. Bean, perasaan bersedih boleh bertukar gembira dan sekali gus memberi kesan positif kepada emosi yang stress.

4. ketawa membentuk peribadi mantap
~orang yang gemar ketawa dan tersenyum sebenarnya seorang yang berfikiran terbuka. Juga mampu tersenyum dalam situasi penuh tekanan, menjelaskan kematangan seseorang menghadapi masalah/cabaran dihadapi.

5. awet muda!
~tak percaya?Percayalah....sebab ketawa mampu meningkatkan pembentukan sel positif yang menjadi pelindung kepada banyak penyakit dan jangkitan. Lantaran itu, hati kita menjadi senang sebab badan sihat, otak pun cerdas!

*...dengan itu sulamilah hidup kita dengan ketawa kerana ketawa menjadi terapi terbaik yang tidak melibatkan apa-apa bayaran pun~ianya anugerah percuma yang diberikan oleh Pencipta kepada setiap makhluk...hargailah peluang ini selagi anda boleh ketawa!*

.....tapi harus diingat, ketawa yang berlebihan
akan mematikan hati,oleh itu ketawalah
secara berpada-pada atau
senyum itu pun sudah memadai....
 

Sunday, November 7, 2010

Dulu Lain, Sekarang Lain!

7 November, 2010
12.30 tengahari...

Aku melilau-lilau melihat kasut-kasut yang sedang dipamirkan di ruang legar sebuah pusat pasar raya. Ada sepasang kasut yang aku berkenaan, tapi tak jadi nak beli sebab 'sales girl'nya asyik leka bermain sms!

Kemudian, aku duduk di atas bangku yang diletakkan betul-betul di hadapan kedai kasut tersebut, sambil mata aku masih tertumpu pada kasut tersebut, dalam hati duk berkira-kira,"nak beli...ke tak?"

Dalam pada aku duk bermonolog sendirian tu, tiba-tiba 'salesgirl' yang duk main sms tu datang ke arah aku dan menyapa aku..."Cikgu, tak kenal ke saya?", sambil itu dia menyalami dan mencium tanganku. Aku termangu-mangu, lantas bertanya,"awak ni anak murid saya ke?". Salesgirl tu menjawab,"yalah, cikgu.Saya ni ...... (lebih baik dirahsiakan namanya)"

Kami pun berborak seketika, bertanya khabar tentangnya serba sedikit. Peluang ini aku ambil untuk bertanyakan tentang kasut yang berkenaan dihati tu. Oleh kerana harganya agak murah, akhirnya aku membeli kasut tersebut.

Sebelum keluar dari kedai tersebut, aku sempat berkata kepada 'salesgirl' itu, "makin cantik awak la ni, tu yang cikgu tak cam", dan dalam hati terdetik,"dulu lain, sekarang dah lain...dulu pakai tudung (masa sekolah), sekarang ....dah lain jadinya!!"

Saturday, November 6, 2010

Ayam Serama


ayam serama nama diberi
menjadi buruan peminat sejati
tak kira berapa harga diberi
sanggup bergadai demi miliki
ayam serama idaman hati
empunya pemilik Man Bangi!

nak tahu pemilik ayam serama ini ;sila klik di sini

Pantun Blogku Berwajah baru

Blogku kini berwajah baru,
tapi tetap hitam pilihanku,
buat penyeri penyambut tetamu,
yang sudi menjenguk blogku,

Layout blogku juga ku ubah,
namun isi utama tak berubah,
harap pengunjungnya juga tak berubah,
malah harapan semakin bertambah!

Banyak gadjet telahku buang,
memberi masa yang terluang,
membaca apa saja yang berpeluang,
supaya pengunjung blokku tak terbang!


Friday, November 5, 2010

Tarikh mendebarkan bagi eirraku....


November 11 bakal menjelma
amat ditunggu pelajar tahun 6
begitu juga dengan eirraku


November 11 bakal tiba
membawa debaran buat eirraku
sekian lama sabar menunggu

jangan resah dan jangan risau
terima aje apa tersurat
itu yang pasti sudahnya!

Peringatan Untuk Mereka Yang Ubahsuai Rumah!

Gambar Hiasan dari Google Search

Jumaat, 05 November, 2010

SERDANG: Lima sahabat yang mahir mengubah suai rumah menyalahgunakan kemahiran itu dengan menjalankan kegiatan memecah masuk rumah.

Mereka yang dikenali sebagai Geng Ah Soon itu licik menggunakan helah untuk membaiki rumah di kawasan perumahan tertentu sambil pada masa sama memantau keadaan rumah lain sebelum memecah masuk walaupun ditinggalkan penghuninya untuk tempoh singkat.

berita lanjut klik disini

sumber:mymetro

"untuk mereka yang sedang mengubahsuai rumah
berhati-hatilah kerana kejadian seperti ini memang tidak terfikirkan oleh kita~semoga kejiranan kita bebas daripada jenayah seperti ini!

Sotong Masak Merah

Masakan sotong masak merah ini merupakan menu kegemaran utama anak-anakku terutamanya along. Setiap kali membuat menu sotong masak merah ini, pastinya aku teringat kepada alongku yang kini berada di hemisfera selatan...jauh je bunyinya! Baiklah kita ikuti resipi membuat menu ini.

Bahan-bahannya :

6 ekor sotong (saiz sedang)~potong bulat-bulat
4 camca besar bawang kisar
4 camca besar cili boh
1/4 keret gula melaka
1 mangkuk kecil air asam jawa
1 camca besar gula
3 camca besar minyak masak


Cara memasak :

1. Masukkan sotong dalam kuali dan semua bahan (kecuali minyak masak) dan gaul sehingga sebati. Masak sotong ini menggunakan api sederhana.

2. Setelah kuah sotong agak pekat (lebih kurang 20 minit), masukkan minyak masak. Gaulkan hingga sebati, kemudian angkat.

nota : saya tak letak garam sebab sotong ini sudah masin~bergantunglah kepada selera masing-masing!

Thursday, November 4, 2010

Tumis Air Sayur Campur






Ini adalah jenis masakan sayur yang digemari oleh keluargaku. Jika membuat sayur campur ini, biasanya aku akan membuat dalam kuantiti yang banyak. Kenapa? ...kerana anak-anakku suka meratahnya begitu sahaja! Ikutilah resipinya :


Bahan-bahannya :

2 keping sayur pucuk (rendam sehingga kembang~toskan)
1 batang lobak merah
1 paket jagung muda
bunga kubis
kubis
sawi manis
10 ekor udang (saiz sedang)
1 paket bebola ikan (cap mushroom)
1 biji ubi kentang (potong dadu)
2 cawan air

Bahan untuk ditumis :

1 labu kecil bawang besar (dimayang halus)
4 ulas bawang putih (dihiris halus)
1 tangkai lada merah (dihiris halus)
minyak untuk menumis

Cara Memasak :

1. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan bahan untuk ditumis. Tumis sehingga naik bau, kemudian masukkan bebola ikan dan ubi kentang. Gaulkan sekejap dan letakkan air. Masukkan garam dan gula secukup rasa.

2. Setelah air mendidih, masukkan semua sayur (kecuali sayur pucuk) dan udang. Akhir sekali baru masukkan sayur pucuk, kemudian angkat.

p.s. : boleh letak soohoon juga (tak letak sebab sudah habis stoknya!)

Wednesday, November 3, 2010

Banjir Menerjah Lagi!

gambar: google.com
November, 2010

Ketika ini negeri-negeri di utara dilanda banjir dengan teruknya. Termasuklah kampung halamanku di Kuala Terengganu. Lazimnya rumah ma dan bak akan dimasuki air hujan (jika hujan terlalu lebat~air bah kilat berlaku) dan mengambil masa agak lama untuk surut kembali. Namun tahun ini, aku agak lega kerana ma dan bak kini tinggal di rumah yat. Jadi tak perlulah memikirkan keselamatan ma dan bak ketika tibanya musim banjir....

Namun, setiap kali tibanya musim banjir ini...pasti aku teringatkan peristiwa banjir pada tahun 2001! Memang membawa kenangan yang tak dapat dilupakan, jadi kita kembali ke tahun 2001, mengimbau kenangan banjir yang aku alami...!

Januari, 2001

Aku dan famili mula menyewa rumah di Taman Sg. Isap Damai pada bulan Januari, 2001. Memang sebelum itu, kami sudah tahu kawasan perumahan ini pernah dinaiki air bah tetapi hanya sedalam satu kaki (sebagaimana takat air bah yang melekat di dinding rumah sewa ku). Jadi kami beranggapan tidak perlu dirisaukan tentang banjir ini, walaupun ramai rakanku memberitahu bahawa kawasan tersebut sering dilanda banjir!

November, 2001


gambar:google.com

Berita di Buletin Utama TV3, memaparkan kawasan amaran yang dinaiki air dan penduduknya perlu berjaga-jaga untuk diarahkan berpindah! Aku dan suamiku sudah mulai risau kerana ketika itu bahagian dapur telah dimasuki air...jadi kami perlu berjaga-jaga. Tambahan pula, ketika itu, aku baru sahaja habis pantang melahirkan anakku yang kelima iaitu Syu.

Bagi memastikan keselamatan kami sekeluarga, akhirnya kami berpindah ke rumah Yat. Selama di rumah Yat, aku mengikuti perkembangan banjir melalui Buletin Utama TV3. Kawasan Taman Sg. Isap Damai dilanda banjir dengan teruknya. Air bah mencecah bumbung rumah sewa ku. Hampir seminggu keadaan banjir ini berlarutan.

Apabila penduduk dibenarkan pulang, suamiku bersama rakan-rakan sepejabatnya menjenguk rumah sewa kami. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati keadaan di dalam rumah bagaikan 'tongkang pecah dilanda tsunami'!.
Banyak barang berharga tidak dapat diselamatkan. Dan yang paling sedih, sijil perkahwinan aku kini tiada gambar suami (menjadi putih tanpa gambar)! Begitu juga dengan sijil-sijil alongku, semuanya rosak, kesian sungguh along!

Kami bagaikan orang pelarian, pakaian hanya sehelai sepinggang, tapi nasib baik bagiku sebab dapat membelinya di Tunas Manja sebab kami ada duit!. Bayangkan mereka yang tiada duit..lagilah menyedihkan!

Kami menumpang di rumah Yat selama sebulan sebelum kami berpindah ke rumah sewa yang baru. Kami sudah serik untuk tinggal semula di rumah sewa lama itu. Kini aku dan famili tinggal di tempat tinggi supaya kejadian banjir pada tahun 2001 tidak berulang lagi.


"Kenangan pahit ini akan tetap terpahat dalam sanubariku, akan diingati sehingga ke akhir hayat dan menghantuiku
setiap kali musim bah melanda!"

Tuesday, November 2, 2010

Teratai dan Telepuk


bunga teratai penyeri laman
menarik perhatian pengguna jalan
terima kasih wahai budiman
buat pemilik Pn. Ro
hani Deraman




bunga teratai pelbagai warna
ada yang putih dan juga pink
ditanam juga bunga telepuk
menambahkan seri laman rumahnya!





Demi Cinta~Sanggup Berkorban Nyawa


RELA MATI DEMI ISTERI
Selasa : 02 November, 2010

KUALA TERENGGANU: Demi menyelamatkan isterinya, seorang penoreh getah sanggup menggadaikan nyawa apabila merelakan dirinya disengat ribuan lebah sehingga dia terbunuh dalam kejadian di Kampung Tanah Lot, Pasir Gajah, Kemaman, kelmarin.

Akibat kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Ali Din, 54, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kemaman manakala isterinya, Khersiyah Engku Hassan, 51, turut cedera dan dimasukkan ke wad selepas terdapat 102 kesan sengatan pada badannya.


Kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu berjalan kaki pulang ke rumah selepas selesai menoreh getah di kebun milik mereka sebelum seekor lebah tiba-tiba menyengat pipi Khersiyah.

Secara spontan, Khersiyah menampar lebah di pipinya hingga serangga itu mati, namun selang beberapa saat kemudian ribuan lebah muncul dan menyerang pasangan itu.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dalam keadaan kelam-kabut dan kesakitan, pasangan itu lari mendapatkan bantuan pekerja asing di rumah kongsi tidak jauh dari situ.


Menurutnya, kumpulan pekerja asing itu menyerahkan selimut kepada Ali dan Khersiyah sebelum mereka turut melarikan diri ke semak berhampiran akibat disengat.

“Selepas mendapat selimut, si suami menyelimuti isterinya, tapi mereka terus berlari hingga si suami akhirnya terjatuh. Si isteri cuba membantu, tapi suaminya menyuruh dia terus lari menyelamatkan diri.


“Kebetulan, ada satu tong besar berisi air tidak jauh dari situ dan suami menyuruh isterinya menuju ke tong itu dan menyelam bagi mengelak terus disengat,” katanya.

Beliau berkata, biarpun keberatan, Khersiyah akur arahan suaminya dan tindakan itu menyelamatkan nyawanya manakala Ali terus disengat ribuan lebah hingga tidak sedarkan diri.


Menurut Abdullah Sani, selepas keadaan agak terkawal Khersiyah pulang ke rumahnya dan mendapatkan bantuan ahli keluarga.


Katanya, seorang adik ipar Khersiyah segera membantu wanita itu dan turut bergegas ke tempat Ali terlantar tidak sedarkan diri sebelum membawa mereka berdua ke Hospital Kemaman. “Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan dia menghembuskan nafas terakhir di atas riba isterinya,” katanya. Abdullah Sani berkata, hasil bedah siasat, doktor mengesahkan Ali meninggal dunia disebabkan mengalami alahan pada sengatan lebah manakala isterinya yang mempunyai 102 kesan sengatan di badan masukkan ke wad sebelum dibenarkan keluar pagi semalam.


Menurutnya, jenazah Din sudah dituntut anggota keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Gajah di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.


" hayatilah berita ini, sanggupkah suami kita

berkorban untuk kita

seperti Ali Din...."


sumber : mymetro

Cemburu buta~sanggup membunuh!

"Neraka Cinta"
Selasa : 02 November, 2010

BINTULU: Bagaikan dirasuk syaitan, seorang suami membelasah, menendang dan memijak isterinya sehingga mati dipercayai akibat perasaan cemburu buta selepas melihat isterinya minum bersama rakan di rumah mereka.

Kejadian berlaku di rumah kongsi tempat tinggal pasangan suami isteri itu, Jalan Pesisir di Nyalau, kira-kira jam 10 malam kelmarin.


Lebih menyedihkan, lelaki berusia 33 tahun itu memukul isterinya yang setahun lebih tua daripadanya di depan anak tunggal mereka berusia tiga tahun serta beberapa rakan sekerja.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Sulaiman Abd Razak berkata, sebelum kejadian, suspek minum bersama rakan di sebuah gerai dan apabila pulang ke rumah dia melihat isterinya sedang minum bersama empat rakannya di rumah kongsi berkenaan.


“Sebaik melihat isterinya sedang minum bersama rakan, suspek dikatakan mengarahkan isterinya beredar, namun wanita berkenaan enggan mengikut arahannya.


“Berang dengan sikap isterinya, suspek hilang pertimbangan lalu bertindak memukul, menendang selain memijak perut mangsa menyebabkan dia pengsan.

“Selepas dibelasah, wanita terbabit dikatakan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia di rumah kongsi berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, polis menerima maklumat orang awam sebelum bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang selain mengalami lebam di beberapa anggota badan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dalaman dengan kesan lebam ditemui pada badan mangsa,” katanya.


Beliau berkata, suspek yang berasal dari Dalat, Sibu kini direman bagi membantu siasatan dan polis tidak menemui sebarang senjata tajam di tempat kejadian.


“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan menetap bersama suaminya di rumah kongsi berkenaan selepas mengikutnya bekerja sebagai buruh kasar sejak beberapa bulan lalu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

u.p : si suami..sayangi isteri janganlah jadi seperti peristiwa di atas!

sumber : myMetro

Monday, November 1, 2010

sos kicap


Setiap kali membuat mee rebus, mesti ada sos kicap...barulah ada 'kick' bila dicampurkan dalam kuah mee rebus. Makan sampai keluar peluh sebab pedas menyengat!! Senang saja untuk membuat sos kicapnya...hanya perlukan 2 camca besar kicap lemak masin dan lemak manis, 1 camca besar cuka...dan paling penting 5 - 6 biji cili padi!

Tumis Laksa!

Jangan terkejut membaca nama resipi ini. Sebenarnya nama resipi ini hanya digunakan oleh keluargaku sahaja. Biasanya resipi ini disebut dengan nama mee rebus. Bezanya mee rebusku ini tiada telur di dalamnya. Baiklah ikutilah resipinya...


Bahan utama~ mee kuning (2 bungkus) : dicelur dalam air panas selama 5 minit, kemudian ditoskan.

Bahan-bahan kuahnya :

5 ulas bawang putih (dihiris halus)
4 camca besar bawang kisar
3 ketul ayam isi (potong dadu~kecil)
1 bungkus bebola ikan (cap mushroom)
3 batang sawi manis (tidak pahit~baru anak-anak makan)
2 camca besar serbuk lada hitam (cap Aji Shio)
4 gelas air
gula dan garam
minyak untuk menumis


Cara membuatnya :

1. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan bawang putih dan bawang kisar. Masakkan hingga garing.

2. Masukkan isi ayam dan bebola ikan~gaul hingga kering air ayam, kemudian masukkan serbuk lada hitam. Kemudian masukkan air.

3. Setelah air mendidih, masukkan sayur sawi, garam dan gula secukup rasa. Angkat bila sayur masak. Nak makan, baru letak mee kuning dan masukkan kuahnya. Sedap dimakan dengan sos tomato dan sos kicap.