Wednesday, October 31, 2012

WW : Jagung





Pertama kali tengok jagung bewarna warni!
Sumber : Klik gambar...

Hari Raya Kedua : Nasi Telur


Ini pertama kali buat nasi telur. Sebelum ini angah yang masak,tapi hari ini (27/10/12) Angah sakit perut, minta tolong aku buatkan nasi telur ini... Rupa-rupanya tak adalah susah manapun nak buat nasi telur ni. Cuma bahan-bahannya seperti hati, daging dan telur hendaklah digoreng dahulu barulah kerja menjadi cepat!Jom layan resipinya ...

Resipi Asal : Namia Sehari Di dapur
Diolah : Teratai K3

Bahan Utama : Nasi putih (tanak seperti biasa)

Bahan-bahan perencah :

Daging ~ hiris kecil-kecil
Hati lembu ~ hiris dadu kecil-kecil
Telur (3 biji) ~ pukul sedikit + garam
Ikan masin/ Telur masin ~pilihan

Cara penyediaan :

1. Gorengkan satu persatu bahan perencah, angkat bila dah masak/garing. Untuk telur, gunakan penapis santan supaya telur tu berurai-urai semasa digoreng!

2.  Gaulkan semua bahan perencah dengan nasi putih....siap untuk dimakan. Sedap dimakan dengan  gulai ayam, daging masak merah dan acar timun.

Tuesday, October 30, 2012

Spagetti Tomato

Untungnyalah ada ramai anak perempuan. Bangun tidur je, dah ada tersedia sarapan pagi. Spagetti tomato ini disediakan oleh si ira pada hari Sabtu (27/10/12) iaitu hari raya haji kedua. Maknya pun tak pernah masak spagetti ini...hehehe. Jom tengok cara penyediaannya.

1. Rebuskan spagetti hingga lembut ~ toskan. Semasa masih panas ni, gaulkan dengan cheddar cheese (diparut).

2. Masakkan sos tomato prego (2 tin kecil) + daging kisar + sosej (potong kecil-kecil).

3. Perasakan dengan garam + gula secukupnya. Siap untuk dimakan. Senang je kan....


Singgah sekejap di kedai Sudin
Niat di hati nak beli ragi
Terima kasih Ira yang rajin
Lain kali boleh buat lagi :)



Monday, October 29, 2012

Daging masak merah






Ini merupakan menu kegemaran keluargaku. Daging ini aku masak agak lama dengan menggunakan api sederhana untuk melembutkan daging tersebut. Jom ikuti resipinya...

Bahan utama ~ 1/2 kilo daging (hiris nipis) 

Bahan rempah/kuah :

4 - 6 sudu besar cili boh
4 - 6  sudu besar bawang kisar
1 mangkuk air asam jawa
garam + gula/gula melaka

Bahan Pelengkap :

1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar kicap masin
minyak

Cara memasak :

1. Basuh daging dan toskan. Masukkan dalam kuali + bahan rempah/kuah.

2. Masak dengan api sederhana selama 1 jam atau kuah menjadi pekat. Gaul-gaulkan supaya sebati.

3. Masukkan bahan pelengkap + kacau sebati. Biarkan 2 -3 minit dan matikan api.
 

Sunday, October 28, 2012

Hilangnya Doa Seorang Ibu

Drama arahan Khir Mohd Noor ini banyak membawa pengajaran kepada kita. Dalam sedar atau tidak, kita tidak terlepas melakukan dosa. Drama ini mengisahkan 3 beradik dan fokusnya kepada si angah yang bongkak dan sombong disebabkan kekayaannya angah sering menghina along dan adik bungsunya. 

Plot drama ini mencapai klimaksnya apabila si angah mendapat stroke dan penyakit mulut setelah menghina along! Pada masa yang sama, ibu angah telah meninggal dunia di Tanah Suci Mekah ketika mengerjakan umrah....tiadanya doa dari ibunya menyebabkan si angah ditimpa malang!   Akhirnya penyakit angah sembuh setelah roh ibunya mendoakannya dan menyapu air zam-zam ke muka angah... Tapi sayang angah tidak sempat memohon kemaafan daripada ibunya.  

Pengajaran dari drama ini ~ Jagalah tutur kata kita, kerana dalam sedar atau tidak mungkin boleh melukakan hati orang yang mendengarnya, tambahan jika mereka yang terluka itu ibu bapa dan adik beradik kita.

Drama ini disiarkan di TV3 pada hari Ahad (28/10/12) jam 9 - 11 malam untuk Anugerah Skrin 2012.

Acar Timun








Acar adalah sejenis hidangan yang kadang-kadang saja aku buat kerana tidak ramai yang menyukainya. Jika aku buat, yang pastinya hanya aku dan suamiku saja yang makan acar ini. Namun acar timun ini sedap dimakan bersama-sama nasi minyak, nasi tomato atau nasi dagang iaitu sebagai penambah selera!

Cara menghidangkan acar timun ini pun mudah. Jom ikuti langkah-langkahnya...

1. Peel kulit timun (tiga batang) dan potong memanjang (2 inci) ~ buang biji-biji timun di tengahnya.

2. Mayang 3 ulas bawang merah, 2 tangkai cili merah (buang bijinya) ~ masukkan dalam timun.

3. Masukkan garam, gula dan cuka secukupnya. Gaul rata dan biarkan 1 -2 jam sebelum makan.


Saturday, October 27, 2012

Hari Raya Haji Pertama : Nasi Minyak Gulai Ayam

 Atas permintaan Angah yang balik bercuti sempena hari raya haji ni, hari pertama masak nasi minyak dengan dua jenis lauk iaitu gulai ayam dan daging masak merah beserta acar timun. Dalam entri ini, aku akan masukkan resipi gulai ayam yang aku ceduk dari blog secubit garam.


menu nasi minyak.....
Resipi Asal : K. Nor Secubit Garam
Diubahsuai : Teratai K3

Bahan2:
1 ekor ayam ~ dipotong
3 sudu besar cili mesin
Bahan Kisar :
5 bj bawang merah
3 ulas bawang putih
1 in halia
1/4 in lengkuas
1 in kunyit hidup
 Bahan Pelengkap :
3 sudu besar rempah gulai/kari ~ bancuhkan dgn sedikit air panas hingga menjadi paste
4 cawan air
air asam jawa
2 - 3 bj ubi kentang ~ dibuang kulit dan dipotong
1/2 cawan santan pekat  (RM3) ~ boleh guna santan kotak atau santan fresh
garam
gula ~ boleh guna campuran gula dgn nisan atau gula melaka
sedikit belacan ~ optional
minyak

Bahan tumis :
1 btg kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
3 bj buah pelaga
5 kelopak bunga lawang

Cara Memasak :

1. Panaskan minyak dan masukkan bahan tumis. Tumis hingga wangi dan masukkan cili mesin.
Biarkan hingga cili garing dan masukkan bahan kisar. Masak hingga pekat dan masukkan paste  rempah gulai/serbuk kari.
2. Kacau dan masak lah hingga pecah minyak (boleh masukkan sedikit air utk pecah minyak dgn lebih elok)
3. Masukkan ayam dan kacau supaya rempah mesra dgn ayam.
4. Biarkan seketika dan masukkan air. Kacau2 biar sebati dan masak lah hingga kuah mendidih dan masukkan air asam jawa dan ubi kentang.
5. Masukkan juga santan pekat dan masak lg hingga mendidih. Hendaklah sentiasa mengacau supaya tak naik kepala. Masukkan  garam dan gula (atau nisan/gula melaka) dan biarkan merenih hingga ayam masak dan kepekatan kuah yg kita sukai.
6. Cedukkan ke dalam mangkuk dan hidangkan.

*Kalau kuah nampak terlalu pekat dan tidak pecah minyak boleh lah dimasukkan sedikit air panas. Teruskan memasak, dengan cara ni minyak akan keluar semula.

Gulai ayam terengganu style





Thursday, October 25, 2012

Macaroni Bakar

Niat nak buat macaroni bakar ni sebenarnya dah lama dan bahan-bahannya pun dah lama beli. Tapi asyik tertangguh je rancangan nak buat macaroni bakar ni. Alhamdulillah hari ini aku berkesempatan membuat hidangan macaroni bakar ini, untuk hidangan berbuka puasa si Ira dan juga sebagai hidangan menyambut kepulangan si Angah malam ini...untuk berhari raya haji bersama keluarga tersayang:)

Resipi asal makaroni bakar ini aku ambil dari blog sarah liana. Ini resipi aku yang aku ubahsuai sedikit. Jom tengok...

Bahan utama :

1 paket macaroni 250 gm (rebus dan toskan) ~sebatikan macaroni dengan setengah cawan susu segar + 4 biji telur (pukul sikit supaya putih + kuning telur bercampur) + gaul rata

Bahan tumis :

4 ulas bawang putih ~ cincang halus
3 ulas bawang merah ~ potong dadu
1 labu bawang besar ~ potong dadu
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar serbuk kari ayam/daging
1 paket daging/ayam kisar
1 batang lobak ~ potong dadu
garam + gula
mentega untuk tumis

White Sauce:

400 ml susu segar
2 sudu besar tepung gandum
sedikit garam
mentega untuk tumis

Cheese cheddar/mozarella ~ parut dan taburkan di atas macaroni sebelum dibakar.

Cara memasak :

1. Panaskan mentega dan tumiskan bawang2 hingga naik bau. Masukkan sos cili + sos tomato + serbuk kari + lobak merah + daging/ayam kisar. Garam + gula secukupnya. Masak sehingga sebati.Masukkan macaroni dan gaul sebati. Ketepikan.

2. Lapik loyang dengan aluminium foil dan sapu dengan mentega. Masukkan macaroni. Lapiskan dengan white sauce + cheese cheddar/mozarella.

3. Bakar dengan kepanasan suhu 180 darjah F selama 20 minit. Kemudian guna api atas bawah selama 15 minit untuk mengaringkan cheese. Bila cheese kekuningan bermakna sudah masak.

Sedap dimakan ketika masih panas!


Cara sediakan white sauce:

1. Panaskan mentega dalam periuk. Masukkan susu segar + tepung gandum + garam. Gaul rata. Bila mendidih matikan api.

Anjuran Berpuasa Pada Hari Arafah



Hadith :
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang."

(Muslim) 


Huraian :
 
10 Zulhijjah bakal menggamit lagi menandakan ketibaan Eidil Adha bersama dengan laungan tahmid memuji Allah di atas segala nikmat kurniaannya termasuk nikmat berhari raya. Kemeriahan Eidil Adha akan lebih terasa apabila umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji di Mekah sama-sama menunaikan puasa sunat hari Arafah. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang
telah lalu dan dosa setahun yang akan datang. Ini bermakna Islam sentiasa mengawal setiap tindak tanduk umatnya di mana setiap amalan yang dikerjakan dan bertepatan dengan kehendak syarak akan diganjari pahala termasuklah juga perkara makan dan minum.

Link : e-Hadith

Sunday, October 21, 2012

Tuah ayam nampak di kaki, tuah blogger pada segmennya!

Sejak akhir-akhir ini, aku banyak menyertai segmen yang dianjurkan oleh blogger-blogger. Segmen pertama yang aku join ialah segmen terjah oleh Hanif Idrus. Segmen HanifIdrus ini memang telah mempopularkan blog aku iaitu kelip-kelipan contest dan melonjakkan follower blogku itu. 

Selepas itu, banyaklah segmen yang aku join. Antaranya segmen miz ruha/lesen. Pun tak disangka-sangka segmen itu dipilih sebagai salah satu blog yang akan direview oleh penganjur blog iaitu miz ruha. Terima kasih...tak sabar nak baca review itu!

Segmen berpantun yang aku join adalah anjuran blog mia liana.com.....segmen mialiana.com mari berpantun.  Sebenarnya semenjak dari bangku sekolah lagi aku memang suka berpantun dan bersajak. Oleh itu apabila ada segmen berpantun itu, aku tak lepaskan peluang menyertainya. Rupa-rupanya, bakat yang telah lama tidak diasahkan ini masih berbisa...isk-isk puji dirilah pulak!He,he.. Mungkin nasibku baik...segmen berpantun ini juga aku mendapat tempat kedua:)

Jadi jika nak baca segmen-segmen tu, klik ajelah tulisan-tulisan berwarna tu......:)

Friday, October 19, 2012

Sotong Bakar

 Nak dapatkan resipi rempah ikan bakar ini, sila klik gambar di atas..

Masih ingat lagi tentang ikan pari bakar yang saya masak baru-baru ini. Memandangkan masih terdapat rempah ikan bakarnya yang lebih dan saya simpan di dalam peti ais jadi bila berpeluang membuat sotong bakar tu, terus je bakar sotongnya (buang lebihan air sotong) dan letak rempah ikan bakar ini. Anak-anak gemar yang amat bila makan sotong bakar ini panan-panas dengan nasi putih panas....bertambah-tambah nasinya!
 

Thursday, October 18, 2012

Kek Lapis Cheese Persona

Kali ni nak cuba buat kek lapis keju pula yang aku ceduk resipinya dari Blog secubit garam : Persona again.. . Resipi asalnya dari blog Ryo: Kek lapis Cheese Persona. Pertama kali tengok tu dah terpesona nak membuatnya. Jadi di sini, aku copy dan pastekan resipinya dari blog ryo, pencipta resipi asalnya...

Kek Lapis Cheese Persona
by : ryo@ryoazhar.blogspot.com
sumber : k. nor secubit garam
Tukang Lapis : Teratai Kelip-kelip kehidupan 

Bahan2: (Saiz 9x9)

A:
  • 2 bungkus biskut marie perisa coklat-lebih kurang 600 g (ryo guna jenama LEE)
  • 500 ml susu segar,dipanaskan
B:
  • 500 g cheese cream (Philadelpia/Tartura)
  • 10 ml susu segar
  • 1/2 cawan gula halus

Caranya :
  1. Satukan cheese dan gula halus,pukul sebati
  2. Masukkan susu segar sedikit demi sedikit,jangan sampai adunan terlalu cair
  3. Pukul lagi hingga kembang dan sebati,ketepikan
  4. Sediakan bekas yang di alaskan terlebih dahulu dengan plastik/kertas minyak/baking paper.
  5. Panaskan susu segar,padamkan api.
  6. Ambil sekeping2 biskut dan celup ke dalam susu (suam2 panas)..terus susun dalam bekas..(Celup 1 saat je taw)
  7. Pastu sapukan adunan cheese di atasnya,ratakan
  8. Ulang proses melapis biskut,kemudian sapukan lagi adunan cheese tadi
  9. Ulang proses melapis hingga habis,biarkan lapisan cheese di atas sebagai lapisan terakhir.
  10. Kemudian,kisar baki biskut yang ada,taburkan dengan cara menapis serbuk biskut tu dia atas lapisan cheese.(Kalau pakai jenama LEE,boleh ramas2kan je dalam penapis tu..jadi serbuk lah ia..)
  11. Tekan2 sikit permukaan tu..masukan dalam peti sejuk,biarkan selama 6 jam sebelum dipotong.
 Jom kita tengok macam mana rupa kek yang aku buat pula.....lulus tak???Hehehe...

 Bolehlah untuk orang yang baru belajar melapis....hihihi!

Monday, October 15, 2012

Senyum tanda puas.....merdeka!

Tiap-tiap hari bermula minggu lepas
aku menghantar dan mengambil wani dari sekolah
sepanjang peperiksaan PMR berlangsung
Jelas terbayang keletihan selepas menjawab soalan peperiksaan!

Hari ini hari terakhir aku menjemput wani dari sekolah
jam 4 petang...
kelihatan tersenyum puas di wajah wani
al maklum peperiksaan dah selesai...
lega....

Moga-moga Wani beroleh kejayaan
Doa mak sentiasa bersamamu.....

Sunday, October 14, 2012

Kelip-kelipan Contest: Latihan : Gerakan Jisim

Kelip-kelipan Contest: Latihan : Gerakan Jisim:



Berdasarkan rajah di atas:
(a) Namakan jenis gerakan jisim X :…………………………………………….(1 markah)

(b) Nyatakan tiga kegiatan manusia yang menyebabkan berlakunya gerakan jisim X...

Untuk melihat latihan selanjutnya, sila klik link berwarna biru di atas.

Saturday, October 13, 2012

Ikan Pari Bakar




Hari ini minta suami beli ikan pari untuk buat ikan bakar. Ingatkan nak guna rempah ikan bakar segera yang masih tersimpan dalam peti ais. Tapi bila dibuka bekas rempah ikan bakar tu dah berkulat!  Jadi terpaksalah buat rempah ikan bakar sendiri! Akhirnya terpaksalah godek-godek si google, terjumpalah rempah ikan bakar dari blog secubit garam. Jadi jika nak lihat resipi asalnya silalah klik sini ya.

Resipi ini aku ubah sikit sebab guna bahan yang ada kat dapur aku je..Jom tengok bahan-bahannya..

Bahan Utama : 2 keping ikan pari (basuh + kelar + toskan)

Bahan Rempah Ikan Bakar :

5 sudu besar cili boh

Bahan Kisar :

4 sudu besar bawang lumat/ 2 labu bawang besar
7 - 10 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit/1 sudu kecil serbuk kunyit
2 batang serai
1 tangkai lada merah + 5 - 7 tangkai cili padi

Bahan Pelengkap :

1 mangkuk air asam jawa (2 sudu besar)
3 sudu besar kicap manis 
3 - 5  helai daun limau purut (hiris halus)
Sedikit belacan
2 gelas air
Gula melaka/gula + garam

Cara memasak :
1. Tumis cili boh hingga garing. Masukkan bahan kisar, tumis lagi sehingga garing. Masukkan sedikit air sehingga pecah minyak.

2. Masukkan air asam jawa, belacan dan kicap. Gula melaka/gula dan garam secukup rasa. Tumis lagi sehingga semua bahan sebati.

3. Biarkan seketika, kemudian masukkan air. Masakkan dengan api sederhana sehingga kuah hampir pekat, masukkan hirisan daun limau purut. Gaulkan sekejap, kemudian padamkan api.


4. Sedia untuk digunakan dalam masakan ikan bakar.

* Ikan pari dibakar kosong dahulu dalam pan ajaib ~ bila ikan sudah masak bolehlah diletakkan rempahnya. Bila hendak makan, perahkan jus limau kasturi/limau nipis. 

Tuesday, October 9, 2012

Doa untuk anak-anakku...

Hari ini merupakan hari penentuan bagi Wani yang akan menduduki peperiksaan PMR. Begitu juga dengan sepupunya Sakinah. Semoga mereka dapat menjawab soalan PMR dengan tenang...

Semua telah mengetahui fadhilat surah yasiin...jika nak tahu lebih lanjut, sila klik sini. Cuma di sini saya ingin berkongsi sebagai ibubapa bolehlah kita membaca surah yasiin ini sementara anak-anak kita menduduki peperiksaan PMR ini, supaya diberikan ketenangan dan dapat menjawab dengan baik. Niatkan ketika menyebut   س   dalam   يس
untuk kejayaan anak-anak kita. Semoga Allah perkenankan.....amin.

Monday, October 8, 2012

Nasi Kuning

Hari minggu ini, aku sempat memasak nasi kuning untuk sarapan pagi. Nasi kuning ini sedap dimakan dengan lauk gulai ikan. Tetapi kali ini, kami makan dengan kepala ikan tongkol masak merah. Ada kelainan daripada biasa. Jom ikuti cara memasak nasi kuning ini...

4 pot beras ~bersihkan dan toskan

Cara memasak :
1. Tumiskan bawang putih (tumbuk) + halia (tumbuk) + bawang besar (mayang) + kulit kayu manis + bunga cengkih sehingga naik bau. Tumis dengan 1sb minyak sapi + 2 sb minyak masak. Jika ada daun pandan, boleh masukkan untuk mewangikan bau nasi.

2.  Masukkan beras + air secukupnya + beberapa titik pewarna kuning. Masakkan di dapur rice cooker. Tunggu masak...siap!


Sunday, October 7, 2012

Ini rupanya telur pindang!

Bagi mereka yang belum pernah tengok telur pindang selepas dikupas kulitnya, beginilah rupanya. Warnanya bertukar menjadi coklat dan agak lembik!

Rasanya pula agak berempah. Tapi yang pastinya aku tak berapa menyukainya! Begitu juga dengan anak-anakku dan suamiku...
Ada yang suka tak telur pindang ni???

Saturday, October 6, 2012

Talapia Sweet Sour


Masih ingat lagi, perihal ikan talapia yang diberikan jiran depan rumah dalam post talapia masak tiga rasa. Ada seekor lagi yang belum dimasak. Jadi kali ini, masak sweet sour pula. Jom ikuti cara-cara memasaknya...

1. Goreng ikan sehingga garing (lumur sedikit garam).

2. Tumis bawang besar (1 labu) + bawang putih (4 - 6 ulas) sehingga naik bau.

3. Masukkan sos cili (3 sb) + sos tomato (3 sb) + air. Garam dan gula secukup rasa.

4. Masukkan ikan dan masak sehingga kuah agak pekat. Tutup api...siap untuk dimakan.



Friday, October 5, 2012

Paprik Ayam

Selasa, 2 Oktober, 2012

Hai dah pukul 10 malam. Tak masak lagi untuk lauk tengah hari esok. Beli aje lauk kantin, kata Wani. Aku dah terpengaruh dengan kata-kata wani tu...sambil berjalan ke sink tengok ayam yang dah dikeluarkan dari peti ais petang tadi.

Oh dah lembik ayam ni...Mak masak ajelah, kata ku. Ayam dah hilang beku, nanti tak elok letak balik dalam peti ais. Jadi aku godek-godek resipi mudah, dalam masa setengah jam boleh siap...ayam paprik! Jom ikuti cara memasaknya...

1. Goreng ayam sehingga masak (lumurkan garam + kunyit). Ketepikan.

2. Tumis bawang putih, cili padi dan halia yang telah ditumbuk halus sehingga garing.

3. Masukan sos cili ( 2 sb), sos tiram (2 sb), kicap manis + kicap masin (1 sb) dan sos ikan (1 sk).Juga daun limau purut (3 - 5 helai). Sedikit air. Garam + gula secukupnya. Sebatikan dengan ayam.

4. Masak 2 - 3 minit lagi dan angkat. Siap untuk hidangan tengah hari esok....simpan dulu dalam peti ais....lepas tu hangatkan. Jimat kos lauk tengah hari.....:)



Thursday, October 4, 2012

Peranginan Tanah Tinggi Yang popular di Malaysia

Terdapat beberapa tempat tanah tinggi yang menjadi tarikan pelancong sama ada dalam negeri atau luar negara. Antaranya ialah Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser yang terletak di Banjaran Titiwangsa.

http://www.lipstiq.com/wp-content/uploads/2012/09/Cameron-Highlands.jpeg
Penanaman teh mengikut kontur di Cameron Highlands

Untuk keterangan lanjut sila ke link berikut : Pusat Peranginan Tanah Tinggi Yang Popular di Malaysia

Sardin Masak Merah

Rasa-rasanya sudah agak lama tidak makan sardin. Anak-anakku bersorak gembira apabila aku beritahu nak masak lauk sardin. Jom ikuti cara memasaknya yang mudah ini (masakan orang malas ni...hehehe) :

1. Tumis bawang kisar dan cili boh hingga garing.

2. Masukkan  kicap manis + kicap masin (1 sb) + 2 tin ikan sardin (ikan makerel) + sedikit air. Garam + gula secukupnya.

3. Masak sehingga kuah agak pekat. Angkat. Siap untuk dimakan. Senangkan!

Monday, October 1, 2012

Talapia Masak Tiga Rasa

Dua minggu lepas, jiran depan rumah ada beri 3 ekor ikan talapia. Seronok melihat ikan-ikan yang segar itu, tapi tak sempat nak masak terpaksalah dimasukkan ke dalam peti sejuk.  Bila anak-anak dah mengomel 'boring' makan lauk kantin, jadi terpaksalah aku masak. Memandangkan ada ikan talapia tersimpan dalam peti ais ni, lebih baik aku masak lah...untuk lauk mereka makan waktu tengah hari. Selain itu, taklah aku tergesa-gesa balik waktu tengah hari untuk hantar lauk!

Jom tengok resipinya...

Bahan utama :

1 ekor ikan talapia (perapkan dengan asam jawa selama 30 minit untuk hilangkan hanyir atau rasa lumpur) ~ basuh dan toskan

Bahan-bahan kisar :

1 inci halia
5 ulas bawang putih
1 labu bawang besar

2 batang serai dititik

Bahan-bahan pes/kuah :

2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
(digaulkan hingga sebati)
1/2 cawan air
1 biji tomato (belah 4)

Cara membuatnya :

1. Ikan digaulkan dengan serbuk kunyit dan garam. Kemudian digorengkan sehingga masak.

2. Tumiskan bahan-bahan kisar dan serai sehingga garing.

3. Masukan bahan-bahan pes + 1/2 cawan air + tomato. Masukkan garam dan gula secukup rasa.

4. Setelah kuah agak pekat,masukkan ikan yang telah digoreng dan angkat.