Artikel berkaitan
Saturday, September 24, 2011
Halangan Pinggir laut Terhadap Kegiatan Manusia
Antara halangan kawasan pinggir laut terhadap kegiatan manusia ialah
~ Hakisan Ombak
Kejadian hakisan ombak berlaku dengan giat di kawasan pinggir laut/pantai yang berbatu (seperti gambar di atas). Hakisan ombak yang kuat akan menghasilkan bentuk bumi pinggir laut yang berteluk. Kawasan pinggir laut berteluk yang berbatu tidak sesuai untuk dijadikan pelabuhan kerana berbahaya kepada kapal-kapal untuk berlabuh.
~ Tebing Curam
Pantai yang dibelakangi tebing tinggi juga menimbulkan risiko kepada pengunjungnya. Keadaan yang bertebing curam,boleh menimbulkan suasana bahaya ketika aktiviti seperti 'jungle tracking' dijalankan terutama ketika waktu selepas hujan kerana laluan yang licin! Pembinaan hotel juga terhalang kerana melibatkan kos yang tinggi berbanding pembinaan hotel di kawasan tanah pamah.
~Ombak Bergelora dan Angin Kencang
Ketika tiupan angin monsun timur laut (November hingga Mac) yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu dan Pahang) menyebabkan keadaan ombak bergelora dan angin kencang. Situasi ini tidak selamat bagi aktiviti beriadah atau bersukan air seperti ski air, berenang (mandi manda di laut) ataupun berkelah. Pelancong juga tidak digalakkan mengunjungi kawasan pinggir pantai ketika ini.
Pada waktu ini juga, kegiatan perikanan tidak dapat dijalankan. Kebanyakan nelayan menjalankan aktiviti membaiki jala yang rosak bagi mengisi masa yang terluang atau mencari kerja sampingan yang lain.
~Berpaya dan Berlumpur
Di sesetengah kawasan pinggir laut yang berpaya dan berlumpur boleh mencacatkan keindahan semulajadi pinggir pantai. Keadaan menjadi semakin teruk apabila air kumbahan hotel dan kawasan perniagaan mengalirkannya ke sungai yang berhampiran. Ini boleh menyebabkan berlakunya pencemaran air laut. Kesannya, kawasan pinggir laut tidak lagi selamat kepada pengunjung. Mereka boleh terdedah kepada penyakit gatal-gatal (penyakit kulit) selepas mandi manda di pinggir pantai yang airnya telah tercemar!
Pencemaran air laut juga boleh mengancam hidupan akuatik. Kepupusan hidupan akuatik seperti ikan, udang dan sotong boleh menjejaskan punca pencarian nelayan yang tinggal di pinggir laut.
Monday, September 5, 2011
Kajian Kes : Pantai Teluk Cempedak,Kuantan, Pahang
Teluk Cempedak merupakan antara pantai yang popular di negeri Pahang. Terletak hanya 5 km daripada bandar Kuantan dan berhampiran dengan Kelab Golf Diraja Pahang. Pantai ini lebih dikenali oleh masyarakat setempat dengan nama TC yang bermaksud Teluk Cempedak. TC merupakan tempat tumpuan dihujung minggu. Dengan pantai yang memutih dan dikelilingi dengan batu-batuan ,rimbunan pokok-pokok serta angin pantai yang bertiup terasa sangat menyegarkan.Antara kemudahan lain yang terdapat disini ialah tandas, bilik mandi, surau, gerai makanan dan pakaian,taman permainan kanak-kanak, restoran, KFC, Mcdonald, laluan riadah dan jungle tracking.
Dengan adanya kemudahan rumah rehat/hotel disini, memudahkan bagi mereka yang ingin bermalam disini. Antaranya Hotel Hyatt Regency. Pada musim monsun timur laut bertiup iaitu antara bulan November hingga Mac,aktiviti seperti berkelah dan mandi-manda di laut dilarang sama sekali kerana keadaan lautnya yang bergelora dan berombak besar serta ganas amat berbahaya kepada pengunjung di pantai ini.
Untuk kesini,pengunjung yang datang dari Kuala Lumpur boleh melalui Lebuh Raya Pantai Timur di Gombak dan ambil susur keluar Kuantan atau Gambang terus ikut signboard Teluk Cempedak. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam. Pengunjung juga boleh menaiki pengangkutan awan seperti bas dan teksi dari bandar Kuantan.
sumber ~ Berita Harian Online, Februari 26,2011:Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang
Friday, August 19, 2011
Potensi Kawasan Pinggir Laut Kepada Kegiatan Ekonomi Negara
POTENSI KAWASAN PINGGIR LAUT KEPADA KEGIATAN MANUSIA.
Kawasan pinggir laut berpotensi dimajukan sebagai:
1. Pusat Pelancongan
Kawasan pinggir pantai berpasir, air yang jernih serta kaya dengan pelbagai spesies hidupan dan tumbuhan laut menjadi tumpuan pelancong ketika bercuti.
Antara kawasan pinggir pantai yang terkenal sebagai pusat pelancongan ialah Pantai Cahaya Bulan (Kelantan), Pantai Cerating dan Pantai Teluk Cempedak (Pahang), Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Batu Feringgi (Pulau Pinang). Pulau-pulau seperti Pulau Perhentian (Terengganu), Pulau Tioman (Pahang) dan Pulau Langkawi yang mempunyai taman laut yang cantik juga menarik pelancong ke Malaysia.
2. Pusat Perikanan
Kawasan pinggir pantai telah menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada penduduk yang tinggal di pinggir laut. Pekerjaan sebagai nelayan merupakan pekerjaan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun. Oleh itu banyak perkampungan nelayan di sepanjang pinggir pantai di Malaysia.
Antaranya ialah Bachok dan Tumpat di Kelantan; Kuala Besut dan Kuala Kemaman di Terengganu; Pulau Ketam dan Kuala Selangor di Selangor.
3. Pusat Pelabuhan
Kawasan pinggir laut yang terlindung dari tiupan angin kencang menjadi lokasi yang paling sesuai untuk mendirikan pelabuhan. Contohnya Pelabuhan Klang di Selangor, Pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas di Johor serta Pelabuhan Kuantan di Pahang.Kewujudan pelabuhan ini telah membantu memperkembangkan lagi aktiviti perdagangan, iaitu urusan eksport dan import.
4. Pusat Perlombongan
Kawasan perairan laut yang kaya dengan mineral petroleum dan gas asli seperti di perairan Laut China Selatan di negeri Terengganu dan Sarawak menyebabkan kawasan pinggir lautnya berpotensi dibangunkan dengan kegiatan perlombongan. Malah wujud kegiatan perindustrian petrokimia di bandar-bandar baru seperti Kertih (Terengganu), Miri dan Lutong serta Bintulu (Sarawak).
5. Kawasan Perumahan
Lazimnya kawasan pinggir pantai/laut menjadi pilihan golongan elit untuk membina perumahan kos tinggi yang terdiri daripada rumah bungalow dan kondominium mewah. Hotel mewah juga didirikan di kawasan pinggir pantai yang bertujuan menarik pelancong.
Wednesday, August 17, 2011
Bentuk Bumi Pinggir Laut/Pantai di Malaysia
Pantai Teluk Cempedak, Pahang
Bentuk muka bumi pinggir laut yang terbentuk daripada tindakan ombak ialah tebing tinggi, teluk dan tanjung. Gua, gerbang laut, batu tunggul dan tunggul sisa juga merupakan bentuk muka bumi pinggir laut yang terbentuk akibat hakisan ombak!
Pantai berpasir halus dan putih pula terhasil akibat proses pemendapan ombak. Pemendapan ombak juga membentuk pulau, anak tanjung, beting pasir dan tombolo (beting pasir yang menghubungkan pantai dengan pulau).
Salah satu kawasan pinggir pantai yang terkenal di Kuantan ialah Pantai Teluk Cempedak.
Pantai Teluk Cempedak terletak kira-kira 5 km dari Kuantan, Pahang, Malaysia. Ia merupakan tempat perkelahan yang popular dan menjadi tumpuan ramai terutamanya pada hujung minggu. Mempunyai pasir pantai yang bewarna putih melepak dan gebu.
Kerajaan Negeri Pahang telah membina pelbagai kemudahan di Teluk Cempedak. Antara kemudahan yang disediakan ialah :
- Menara tinjau
- Restoran dan gerai-gerai
- Titi / Jambatan menyusun pinggir bukit
- Surau
- Bilik mandi / tandas
- Tembok pinggir pantai
- Pentas
- Hotel
- Tempat letak kereta yang luas.






